ad
AGENDA

Pesara rugi RM4.4 juta ditipu sindiket pelaburan mata wang

13 Sep 2023, 3:49 PM
Pesara rugi RM4.4 juta ditipu sindiket pelaburan mata wang

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Pesara kerajaan berputih mata apabila mengalami kerugian lebih RM4.4 juta akibat terpedaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor, berkata siasatan awal mendapati lelaki berusia 60 tahun itu menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang memperkenalkan diri ejen pelaburan mata wang kripto dari Singapura.

“Mangsa diarahkan membuat pendaftaran di laman web yang diberikan dan dijanjikan pulangan lima hingga 10 peratus daripada nilai modal namun tidak dinyatakan tempoh pelaburan tersebut.

“Terperdaya dengan tawaran itu, mangsa membuat 90 transaksi berjumlah RM4,417,092.80 secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank diberikan suspek bermula 18 Julai sehingga 6 September lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata mangsa gagal mengakses laman web berkenaan dan tidak dapat menghubungi suspek, semalam.

Justeru mangsa yang mengesyaki ditipu apabila tidak menerima keuntungan pelaburan membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.