ad
AGENDA

SIC perkenal tiket Rahmah RM49.90, saksi kejuaraan motosikal dunia November ini

13 Sep 2023, 1:27 PM
SIC perkenal tiket Rahmah RM49.90, saksi kejuaraan motosikal dunia November ini

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Peminat sukan permotoran tanah air boleh menikmati harga istimewa menerusi tiket Rahmah serendah RM49.90 yang diperkenalkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi menyaksikan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia 2023, November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata 7,000 tiket di K2 Hillstand akan dijual kepada rakyat Malaysia secara dalam talian dan kaunter jualan tiket, mulai hari ini.

“Selain harga tiket istimewa, parkir percuma dan menu Rahmah untuk F&B (food and beverages) turut diperkenalkan. Ini pertama kali kami perkenalkan inisiatif seumpama ini.

“Jadi kami menjangkakan 170,000 penonton berbanding 164,000 penonton hadir pada tahun lalu dan sekarang kita berada di landasan betul untuk 'sold out' kerana sudah hampir 70 peratus tiket dijual bermula tahun lalu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

MotoGP GP Malaysia 2023 akan berlangsung pada 10 hingga 12 November ini.

Dalam pada itu, Azhan berkata setakat ini, tiada pelumba tempatan beraksi atas tiket wild card pada perlumbaan GP Malaysia 2023.

Beliau, bagaimanapun, berkata keputusan itu boleh berubah sekiranya ada pihak mahu menawarkan diri untuk memberi penajaan dan keputusan itu hanya akan diketahui 45 hari sebelum perlumbaan itu berlangsung.

“Untuk tahun ini, kita tak ada rancangan lagi untuk meletakkan pelumba negara atas tiket wild card. Tahun lalu, dua pelumba Petronas bersaing atas tiket wild card dalam kategori Moto2.

"Kalau ada penaja wild card seperti Petronas, saya tidak menolak kemungkinan,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.