ad
AGENDA

Purata kematian seorang kanak-kanak setiap hari akibat nahas jalan raya

13 Sep 2023, 12:13 PM
Purata kematian seorang kanak-kanak setiap hari akibat nahas jalan raya
Purata kematian seorang kanak-kanak setiap hari akibat nahas jalan raya

CYBERJAYA, 13 SEPT: Purata seorang kanak-kanak meninggal dunia setiap hari akibat nahas jalan raya dicatatkan dalam tempoh 2011 hingga 2020, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata data kemalangan itu diterima daripada Polis Diraja Malaysia dan dianalisis oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) yang mendapati 7.25 peratus kematian adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun bagi tempoh 10 tahun itu.

Katanya menyedari hakikat itu Kementerian Pengangkutan mengambil beberapa inisiatif bagi mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan dan kematian di jalan raya melibatkan kanak-kanak melalui program advokasi dan penyelidikan termasuklah Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR).

PKJR merupakan satu modul mengenai keselamatan jalan raya yang diajar dalam subjek Bahasa Melayu di semua sekolah rendah dan sekolah menengah, dan sejak 2021 modul sama telah diaplikasikan di peringkat taska dan prasekolah.

[caption id="attachment_577568" align="alignleft" width="500"] Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah bercakap kepada media ketika pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri di Taman Prima Saujana, Kajang pada 18 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI[/caption]

Menerusi PKJR, murid diajar mengenai ilmu keselamatan jalan raya secara berperingkat merangkumi pengenalan tanda isyarat lalu lintas, prasarana jalan raya dan pengenalan kepada jenis kenderaan yang boleh membantu mereka menjadi pengguna jalan raya yang peka dan berwaspada.

"Anak-anak kita harus dididik dan dilentur sejak kecil lagi mengenai kepentingan keselamatan jalan raya agar ia menjadi budaya mereka,” kata Hasbi ketika berucap merasmikan Karnival PKJR di sini hari ini.

Karnival PKJR itu diadakan sempena Asean Road Safety Week (ARSW) 2023 yang berlangsung di sini bermula Isnin lalu hingga Jumaat ini.

Dengan tema ‘Mobiliti yang selamat untuk semua’, ARSW memperjuangkan strategi keselamatan jalan raya bukan sahaja untuk pemandu kenderaan bermotor, tetapi juga penunggang basikal dan pejalan kaki.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.