ad
AGENDA

Cadang siar langsung penjelasan peguam negara kes perhatian umum

13 Sep 2023, 8:58 AM
Cadang siar langsung penjelasan peguam negara kes perhatian umum

SHAH ALAM, 13 SEPT: Prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi termasuk penjelasan peguam negara perlu dibuat secara langsung atau pendengaran awam.

Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara tersebut penting supaya rakyat benar-benar memahami butiran kes termasuk pengguguran pendakwaan yang menjadi perhatian umum.

“Proses jawatankuasa wajar diadakan secara live telecast (siaran langsung) atau pendengaran awam yang boleh didengari rakyat kerana ia menjadi isu," katanya.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar berkata demikian ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat pada 13 September.

Amirudin menggesa kerajaan mempercepat usaha memisahkan kuasa pendakwa raya dan peguam negara yang dimulakan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Datuk Seri Azalina Othman Said semalam.

"Ketika Perikatan Nasional jadi kerajaan pun, ada mereka yang digugurkan pendakwaan atas keputusan peguam negara dengan alasan tertentu.

“Sebab itu, saya minta pendengaran itu bukan dihadiri ahli parlimen sahaja, sewajarnya dibuat pendengaran terbuka yang rakyat boleh lihat dan dengar penjelasan peguam negara,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.