ad
EXCO

Jurutera MSN Selangor mangsa kemalangan terima sumbangan Kerajaan Negeri

11 Sep 2023, 1:51 PM
Jurutera MSN Selangor mangsa kemalangan terima sumbangan Kerajaan Negeri

KLANG, 11 SEPT: Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan RM5,000 kepada keluarga mangsa Jurutera Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Mohd Nur Farith Sakhba yang terlibat kemalangan jalan raya pada Jun lalu.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata bantuan tunai sekali bayar itu diharap dapat meringankan beban Mohd Nur Farith yang kini dijaga oleh keluarganya.

“Mewakili pihak MSN juga kami akan bersama menjaga kebajikan seluruh warga MSN walaupun Mohd Nur Farith bekas pegawai MSN kita tetap memantau perkembangan serta keperluan beliau,” katanya selepas melakukan lawatan Ziarah Prihatin ke atas Mohd Nur Farith.

Menurut Najwan pihaknya juga akan memastikan Mohd Nur Farith mendapatkan rawatan yang terbaik melalui rawatan rehabilitasi untuk proses pemulihan pegawai MSN Selangor itu.

“Di peringkat MSN kita ada fasiliti yang boleh membantu untuk jalani proses fisioterapi memudahkan proses rawatan Mohd Nur Farith.

“Negeri juga dengan kerjasama Perkeso sedang merangka perancangan untuk menghantar beliau mendapatkan rawatan rehabilitasi di Melaka,” katanya.

Kemalangan pada 17 Jun lalu mengakibatkan Nur Farith mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan saraf ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Dalam kejadian itu Nur Farith berlanggar dengan tilam yang dibawa kenderaan pacuan empat roda sebelum tilam terbabit menghempap ke atasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.