ad
AGENDA

MSN pertimbang Karnival Sukan Wanita jadi acara tahunan

7 Sep 2023, 3:29 AM
MSN pertimbang Karnival Sukan Wanita jadi acara tahunan

KAJANG, 7 SEPT: Majlis Sukan Negara (MSN) akan mempertimbangkan Karnival Sukan Wanita untuk dijadikan sebagai acara tahunan, dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat daripada peringkat akar umbi.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pihaknya terharu, apabila karnival yang diadakan buat julung kalinya pada tahun ini mendapat sambutan menggalakkan, daripada semua negeri.

“Insya-Allah (diadakan secara tahunan), kita akan cuba melihat potensi menggabungkan semua sukan, sebab ini baru empat sukan, belum lagi banyak sukan lebih besar dan seolah-olah menjadi macam Sukan Malaysia (SUKMA).

“Kita tidak mahu (karnival) ini menjadi SUKMA, sebaliknya kekal platform mereka untuk bertemu dan berlatih bersama dan berjumpa dengan rakan-rakan mereka dari negeri (lain),” katanya selepas Majlis Penutup Karnival Sukan Wanita 2023 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), di sini malam tadi.

Sebanyak empat acara dipertandingkan di Karnival Sukan Wanita 2023 iaitu bola sepak, bola jaring, hoki dan ragbi, melibatkan 700 atlet dan pegawai dari seluruh negara.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.