ad
AGENDA

Kekurangan pekerja asing di tiga sektor tidak lebih 30,000 orang

5 Sep 2023, 3:12 PM
Kekurangan pekerja asing di tiga sektor tidak lebih 30,000 orang

KLANG, 5 SEPT: Kekurangan pekerja asing bagi tiga sektor melibatkan kedai gunting rambut, tekstil dan kedai emas dalam negara setakat ini tidak melebihi 30,000 orang.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata ia berikutan kementeriannya menerima pelbagai aduan daripada ketiga-tiga sektor berkenaan berhubung keperluan mengambil pekerja warga asing.

Bagaimanapun, katanya jumlah sebenar pengambilan pekerja asing itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.

"Kita sememangnya amat memahami keperluan mendesak ketiga-tiga sektor tersebut. Susulan itu, satu perbincangan terperinci di peringkat Kabinet perlu dilakukan bagi menentukan jumlah pekerja dan mekanisme terbaik menyelesaikannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau premis perniagaan di Little India, Jalan Tengku Kelana, di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan meluluskan sebahagian permohonan pengambilan pekerja asing bagi tiga sektor itu yang dibekukan sebelum ini.

Bagaimanapun, Anwar meletakkan syarat agar golongan belia tempatan diberikan latihan bagi mengisi keperluan tenaga kerja di tiga sektor berkenaan.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata pihaknya memberi jaminan akan memastikan tidak ada pihak menyalahgunakan permohonan bagi pengambilan pekerja asing dan ia akan dilaksanakan mengikut keperluan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.