ad
AGENDA

Yayasan Selangor johan perbarisan sambutan kemerdekaan peringkat negeri

31 Ogos 2023, 12:42 PM
Yayasan Selangor johan perbarisan sambutan kemerdekaan peringkat negeri

SHAH ALAM, 31 OGOS: Kontinjen Yayasan Selangor dinobatkan johan dalam acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri, malam tadi.

Yayasan Selangor memaklumkan, ia merupakan kejuaraan sulung agensi itu selepas lebih 10 tahun menyertai acara perbarisan sambutan kemerdekaan peringkat negeri.

“Tahniah atas usaha dan komitmen seluruh kontinjen, ini kemenangan kali pertama Yayasan Selangor selepas lebih 10 tahun menyertai acara perbarisan.

“Untuk rekod, Yayasan Selangor pernah menduduki tempat kedua pada 2013 dan 2018 serta ketiga bagi 2015 dan 2019,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Kemenangan bagi kategori badan berkanun itu membolehkan Yayasan Selangor membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung dari pelbagai bangsa.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai program menarik antaranya perarakan 66 kontinjen, persembahan kawad senyap, t-baton, dan pertunjukan bunga api yang menjadi simbolik sambutan.

Selain itu, artis terkenal tanah air Ziana Zain, Awie serta Iman Troye turut membuat persembahan bagi memeriahkan lagi sambutan yang mengangkat tema Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.