ad
AGENDA

Kadar inflasi mereda dalam tempoh lapan bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan

25 Ogos 2023, 12:58 PM
Kadar inflasi mereda dalam tempoh lapan bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Kadar inflasi keseluruhan di Malaysia mereda daripada 4.0 peratus kepada 2.0 peratus, dalam tempoh lapan bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kadar inflasi dalam sektor komunikasi di negara juga telah mereda daripada 0 peratus kepada -3.7 peratus, pada Julai lalu.

“Di pihak KKD (Kementerian Komunikasi dan Digital), insya-Allah pelbagai inisiatif mengurangkan beban kewangan rakyat dalam sektor komunikasi akan diteruskan. Kita akan terus bekerja dan berkhidmat untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan, Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia, terus mereda kepada 2.0 peratus pada Julai 2023 iaitu yang terendah setakat tahun ini, dengan mata indeks mencatat 130.5 berbanding 127.9 bagi tempoh sama tahun lalu.

Kadar inflasi yang mencatat 2.4 peratus bagi tahun ke tahun pada Jun juga, menunjukkan aliran yang menyederhana sejak Januari pada 3.7 peratus.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan perlahan kadar inflasi itu, didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel pada 5.0 peratus; makanan dan minuman bukan alkohol (4.4 peratus); kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.6 peratus) manakala kedua-dua kumpulan kesihatan dan pendidikan masing-masing meningkat 2.0 peratus.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.