ad
PBT

Kemudahan pasar sementara Semenyih sesuai taraf lokasi

25 Ogos 2023, 10:55 AM
Kemudahan pasar sementara Semenyih sesuai taraf lokasi

HULU LANGAT, 25 OGOS: Kemudahan disediakan di pasar sementara Semenyih bersesuaian dengan taraf sementara lokasi itu untuk 39 peniaga pasar basah dan kering yang dipindahkan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Najmuddin Jemain berkata kemudahan disediakan termasuk ruang simpanan peti sejuk beku, tandas serta surau lelaki dan wanita.

“Selain itu tempat letak kenderaan bagi peniaga dan pengunjung turut disediakan.

“MPKj sentiasa mengambil perhatian dan prihatin terhadap rintihan dan keperluan peniaga di pasar sementara Semenyih untuk mereka meneruskan perniagaan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bil.8/2023 MPKj di Menara MPKj hari ini.

Najmuddin berkata berhubung pembangunan semula pasar awam Semenyih yang baharu, pihaknya sedang dalam tindakan bagi memastikan projek itu berjalan lancar termasuk isu pewartaan tanah.

September lalu, MPKj mengeluarkan surat berhubung pemindahan peniaga ke pasar sementara Semenyih bagi memberi laluan kepada projek naik taraf pasar berkenaan.

Dalam pada itu Najmuddin turut menyarankan pemilik kediaman atau premis menjelaskan cukai taksiran penggal dua sebelum 31 Ogos ini bagi mengelak tindakan sitaan dikenakan.

“Semakan dan bayaran dalam talian boleh dilakukan melalui https://ebayar.mpkj.gov.my/ebayar dan tiada lagi pengeposan bil cukai taksiran MPKj,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.