ad
AGENDA

Peguam: Tidak perlu izin guna data peribadi untuk urusan rasmi kerajaan

25 Ogos 2023, 7:24 AM
Peguam: Tidak perlu izin guna data peribadi untuk urusan rasmi kerajaan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerajaan Negeri boleh menggunakan data peribadi rakyat untuk sebarang urusan rasmi berdasarkan peruntukan Seksyen 3 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Jika kita perincikan Seksyen 3 menyatakan akta itu tidak diterima pakai terhadap kerajaan persekutuan atau Kerajaan Negeri,” kata peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Selangor juga tidak perlu memohon kebenaran untuk menggunakan data peribadi rakyat bagi program seperti Skim Insurans Am Selangor (INSAN), lapor Sinar Harian.

Katanya, Kerajaan Negeri hanya menyerahkan data tersebut kepada syarikat yang mengendalikan inisiatif berkenaan dan turut dipertanggungjawab untuk melindungi data berkenaan.

"Contohnya ada aduan menyatakan terdapat kesalahan butiran maklumat INSAN seperti kes ibu telah meninggal dunia didaftarkan.

“Berpandukan akta tersebut, hal ini boleh dibuat aduan terhadap syarikat dan bukan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar berkata nama yang tertera dalam sistem INSAN hanya prapendaftaran berdasarkan data awam bagi mengelak pendaftaran mengambil masa panjang.

Dato’ Seri Amirudin Shari juga menjelaskan orang ramai juga boleh membuat pilihan untuk menerima skim berkenaan atau sebaliknya.

Diperkenal tahun lalu, INSAN ditawarkan kepada penduduk berusia antara 30 hari hingga 80 tahun dengan premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Skim yang menyasar enam juta rakyat memberi perlindungan sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Awal bulan ini, INSAN ditambah baik dengan menawarkan Skim INSAN Takaful yang memberi perlindungan sehingga RM10,000 manakala waris sebanyak RM1,000 jika berlaku kematian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.