ad
ADN

RM6 juta bina pasar pagi baharu Seri Kembangan, tampung 400 peniaga

24 Ogos 2023, 1:56 AM
RM6 juta bina pasar pagi baharu Seri Kembangan, tampung 400 peniaga

SHAH ALAM, 24 OGOS: Projek pembinaan pasar pagi baharu di Jalan Besar, Seri Kembangan dijangka bermula pertengahan tahun depan dengan anggaran kos RM6 juta.

Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan Wong Siew Kii berkata reka bentuk pembangunan pasar terbabit sedang dilakukan dengan mengambil kira idea dan kehendak peniaga.

“Projek ini paling besar dan menjadi keutamaan saya pada penggal ini. Pembinaannya bermula selepas reka bentuk pasar diputuskan bersama.

“Kos pembangunan dijangka mencecah RM6 juta seperti diperuntuk Kerajaan Negeri atau lebih bergantung kepada reka bentuk pasar,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pasar yang akan dilengkapi pelbagai kemudahan mampu memuatkan sehingga 400 peniaga sejurus siap pembinaan yang dijangka mengambil masa dua hingga tiga tahun.

Siew Kii menjelaskan ketika ini peniaga sedia ada ditempatkan di lokasi transit bagi memastikan kelancaran operasi perniagaan masing-masing.

“Apabila siap nanti, mereka yang dipindahkan ke lokasi transit ini diberi keutamaan untuk berniaga di pasar baharu. Diharap pembinaannya siap mengikut jadual,” katanya.

Datuk Bandar Subang Jaya sebelum ini memaklumkan pembaikan bernilai RM6 juta bakal dilengkapi kemudahan seperti lintasan pejalan kaki dengan lampu isyarat, bonggol dan penghadang jalan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.