ad
AGENDA

PM umum tambahan geran RM6 juta bantu usahawan mikro berpendapatan rendah

22 Ogos 2023, 5:45 AM
PM umum tambahan geran RM6 juta bantu usahawan mikro berpendapatan rendah

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Kerajaan akan menambah peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya golongan B40, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini akan menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad untuk tahun ini sebanyak RM10 juta, meningkat daripada RM4 juta yang telah diperuntukkan di dalam Belanjawan 2023.

Katanya kerajaan bertekad untuk menghapuskan kemiskinan negara dan mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.

“Kalau (iTekad) sudah berjaya dengan RM4 juta dana awalan Kementerian Kewangan, (beserta) andaian lebih banyak penyertaan bank dan ada lagi dana tambahan dari Bank Negara Malaysia (BNM), maka saya boleh tambah dari RM4 juta kepada RM10 juta untuk tahun ini,” katanya di Majlis Jalinan Kerjasama iTekad di sini hari ini.

iTekad merupakan program penaung yang diwujudkan oleh BNM bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.

Setiap program iTEKAD menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai, dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.