ad
ADN

Naik taraf sistem perparitan lokasi banjir di Hulu Langat dilaksana segera

21 Ogos 2023, 12:41 AM
Naik taraf sistem perparitan lokasi banjir di Hulu Langat dilaksana segera
Naik taraf sistem perparitan lokasi banjir di Hulu Langat dilaksana segera

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

SHAH ALAM, 21 OGOS: Wakil Rakyat Dusun Tua akan menyegerakan usaha menaik taraf sistem perparitan di sekitar Batu 16, 17 dan 18, Hulu Langat yang sering berdepan masalah banjir ketika hujan lebat.

Datuk Johan Abd Aziz berkata, isu banjir di kawasan itu agak kritikal dan beliau sudah membuat laporan kepada Bahagian Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Saya minta peruntukan untuk menaik taraf sistem perparitan sedia ada yang menjadi punca permasalahan banjir di kawasan ini setiap kali hujan lebat walau dalam tempoh sejam.

“Hari ini (semalam) saya melawat rumah penduduk terjejas. Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan dan saya akan ambil langkah segera mengatasinya,” katanya yang turut menyampaikan sumbangan kepada penduduk terjejas.

[caption id="attachment_598948" align="aligncenter" width="791"]
Sistem perparitan yang sempit dan dipenuhi lumpur menjadi punca banjir kilat di kawasan Batu 16, 17 dan 18 Hulu Langat. Foto Ihsan Datuk Johan Abd Aziz[/caption]

Beliau berkata, MPKj dan JKR sudah dimaklumkan dan langkah mitigasi segera diambil antaranya pelebaran saiz longkang utama yang dikenalpasti menjadi punca banjir.

“Ada kemungkinan kesan banjir besar di Hulu Langat sebelum ini masih meninggalkan sisa lumpur dan pasir hingga mengakibatkan sistem perparitan tersumbat, hujan sekejap pun sudah dinaiki air.

“Disebabkan longkang yang menjadi punca banjir adalah di jalan utama di bawah selenggaraan JKR, saya sudah maklumkan kepada jurutera jabatan itu dan tindakan akan diambil segera,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.