ad
AGENDA

Sidang niaga 2023 dianjur lebih besar, sasar potensi jualan RM1.5 bilion

20 Ogos 2023, 10:30 AM
Sidang niaga 2023 dianjur lebih besar, sasar potensi jualan RM1.5 bilion

SHAH ALAM, 20 OGOS: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) yakin Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2023 yang berlangsung Oktober ini mampu mencapai potensi nilai jualan sehingga RM1.5 bilion.

Ketua Pengarah Eksekutifnya Dato’ Hasan Azhari Idris berkata sasaran itu melebihi RM500 juta berbanding perolehan yang dicatat pada tahun lalu, iaitu sebanyak RM1.45 bilion.

“Kita jangkakan sektor makanan dan minuman (Ekspo Antarabangsa Selangor) serta pameran Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark) akan menjadi penyumbang terbesar kepada potensi nilai jualan,” katanya kepada Selangorkini.

Azhari berkata SIBS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur turut memuatkan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan) dan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

“Dua lagi segmen utama yang diadakan ialah Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia,” katanya.

SIBS yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 22 Oktober tahun ini dianjur dalam skala lebih besar berikutan sambutan yang menggalakkan tahun lalu

Selangor memperkenalkan SIBS pada 2016 dan tahun lalu sidang niaga tersebut mencatat nilai potensi rundingan berjumlah RM1.45 bilion.

Pada tahun lalu, ekspo disertai 623 pempamer itu menerima 44,342 pelawat dengan menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) dan Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan).

Turut dianjur Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.