ad
AGENDA

Konvoi madani polis santuni anggota, pegawai, masyarakat kurang bernasib baik

20 Ogos 2023, 9:52 AM
Konvoi madani polis santuni anggota, pegawai, masyarakat kurang bernasib baik

BUKIT MERTAJAM, 20 OGOS: Konvoi Madani Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan peringatan Hari Polis akan diteruskan dari semasa ke semasa, dalam usaha mendekati dan menyantuni orang ramai.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Hazani Ghazali berkata program itu, bukan sahaja memberi impak positif kepada peserta malah masyarakat setempat terutama mengeratkan hubungan pihak polis dengan orang ramai.

“Kita laksanakan Konvoi Madani Ride PDRM ini sempena Hari Polis ke-216 dan Bulan Kemerdekaan, program in akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana kita mendekati selain pegawai, anggota sendiri, kami juga dekati masyarakat setempat dan sebagainya.

“Tujuan utama konvoi ini sebenarnya untuk kebajikan dan menyampaikan sumbangan dalam masa sama sempena memperingati Hari Polis, serta menyemarakkan lagi semangat Bulan Kemerdekaan dengan menjelajah lebih 2,400 kilometer ke seluruh pelosok Semenanjung termasuk selatan Thailand,” katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas tiba di Juru, di sini bersama Konvoi Madani Ride PDRM ke Pulau Pinang dan konvoi itu disambut Ketua Polis Negeri Datuk Khaw Kok Chin.

Jelajah selama enam hari bermula 16 Ogos ke setiap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di Semenanjung, disertai 150 penunggang motosikal berkuasa besar terdiri daripada warga PDRM serta ahli Ipoh Super Bike Club (ISBC) Malaysia, Thailand dan Singapura.

Mengulas lanjut Hazani berkata konvoi itu bermula di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, seterusnya mengunjungi semua kontinjen di Semenanjung dan turut memasuki selatan Thailand.

“Semalam kami di Kontinjen Kelantan sebelum masuk ke selatan Thailand melalui Sungai Golok dan konvoi menerima sokongan penuh daripada pasukan Polis Diraja Thailand, sebelum berakhir di Danok, pagi ini kami keluar ke Kontinjen Kedah.

“PDRM turut menyantuni dan menyampaikan sumbangan kebajikan di setiap IPK dengan paling kurang 10 individu menerima sumbangan, dan mereka terdiri dalam kalangan anggota polis yang sakit atau asnaf dan anak yatim piatu,” katanya.

Hazani berkata konvoi itu meneruskan perjalanan ke Kontinjen Perak hari ini, sebelum destinasi terakhir di Shah Alam yang akan disambut oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.