OLEH NAJAMUDDIN MOHD NOR
SHAH ALAM, 20 OGOS: Kira-kira 2,000 pengunjung hadir memeriahkan program Hari Tanpa Kenderaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dataran Kemerdekaan MBSA, Seksyen 14, di sini, hari ini.
Bahagian korporat dan perhubungan awamnya berkata, penganjuran program Karnival Basikal Merdeka sempena menyambut Kemerdekaan 66 tahun negara menjadi tarikan pada edisi kali ini dengan penyertaan 250 peserta.
"Karnival Basikal Merdeka ini merupakan inisiatif MBSA untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di bulan kemerdekaan.
"Antara pengisian aktiviti yang diadakan dalam Karnival Basikal Merdeka ini ialah 'Merdeka 66th Bike Show', Lumba Basikal Perlahan, Lipat 'Folding Bike' terpantas dan pertandingan Youtuber dan Tiktoker terbaik," menurut kenyataan MBSA.
Aktiviti menarik lain yang disediakan adalah larian kitar semula ‘Shah Alam Car Free Day Fun Run’ disertai 500 peserta, Fun Walk, kayuhan santai, senamrobik serta persembahan kombo MBSA.
Selain itu, pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak disediakan seperti klinik pembangunan sukan silat, memanah, zoo mini, kraftangan dan perpustakaan bergerak.
Majlis pelepasan disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Dr Nor Fuad Abdul Hamid.