KLANG, 10 OGOS: Polis Selangor mengesahkan hanya 10 mangsa terbabit nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, Khamis lalu, selepas proses padanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dengan waris lengkap dan selesai dilakukan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata polis bersama Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Jabatan Kimia Malaysia selesai menjalankan proses bedah siasat dan padanan ujian DNA.
Beliau berkata, pihaknya sudah terima ujian DNA semua sampel dihantar sebelum ini dan memutuskan mangsa nahas dikenalpasti dan bersedia diserahkan kepada keluarga pagi ini.
Katanya, kaedah padanan cap jari, ujian (DNA) dan rekod gigi digunakan dalam mengenal pasti identiti mangsa nahas pesawat terbabit, lapor Berita Harian.
"Walaupun kaedah DNA mengambil sedikit masa saya dapati semua proses itu dipermudahkan dan inilah paling cepat dapat dilakukan di mana kita menyelesaikan sehari awal berbanding sepatutnya Isnin ini," katanya pada sidang media di Jabatan Forensik HTAR di sini pagi ini.
Pada masa sama, pihaknya sudah merakam keterangan tiga pemilik video kamera papan pemuka (dashcam) yang berada di lokasi nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas itu.
"Kita juga meminta saksi lain yang melihat kejadian itu tampil membantu siasatan," katanya.