ad
AGENDA

Program Jualan Rahmah manfaatkan pelbagai golongan masyarakat, wajar diteruskan

20 Ogos 2023, 3:14 AM
Program Jualan Rahmah manfaatkan pelbagai golongan masyarakat, wajar diteruskan

JOHOR BAHRU, 20 OGOS: Program Jualan Rahmah (PJR) hasil buah fikiran Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang berjaya memanfaatkan pelbagai golongan masyarakat di negara ini, wajar diteruskan.

Rata-rata pengguna yang ditemui Bernama berkata Jualan Rahmah ternyata meringankan beban ramai pihak kerana dapat membeli dengan harga yang lebih murah dan munasabah.

Pesara guru, Abdul Razak Abd Rahman, 63, berkata program berkenaan diharapkan dapat diteruskan ke tahun hadapan kerana ia sedikit sebanyak membantu menjimatkan perbelanjaan pengguna.

"Macam hari ini harga barang seperti ayam, sayur, tepung yang ditawarkan memang rendah daripada biasa, kurang 20 hingga 30 peratus dan ini sangat membantu kami.

"Jadi sebaik-baiknya program ini diteruskan kerana dengan harga barangan yang ditawarkan lebih murah, boleh mengurangkan sedikit kos perbelanjaan kami," katanya ketika ditemui pada Jualan Rahmah Mega di Stadium Bandaraya Pasir Gudang semalam.

Senada dengan itu, seorang suri rumah Rozita Mohd Noor, 48, memuji inisiatif itu berikutan kenaikan kos sara hidup dan harga barangan naik yang dirasai banyak pihak.

Dia juga bersetuju agar Jualan Rahmah dapat diteruskan, membolehkan lebih ramai menerima manfaatnya.

"Alhamdulillah, hari ini saya dapat beli barang seperti ayam, bawang, semuanya lebih murah daripada biasa macam ayam daripada RM7.69 (sekilogram) jadi RM6.99, ikan cencaru daripada RM8.99 dapat RM6.99, bawang putih pula berharga RM7.99 berbanding RM8.99, ini sekali gus mengurangkan perbelanjaan kami.

"Terima kasih kepada KPDN terutama Allahyarham yang kita memang dapat lihat kesungguhan beliau melaksanakan program Jualan Rahmah yang meliputi pelbagai kategori. Jadi saya sokong dan harap ia dapat diteruskan," katanya yang tinggal di Kota Masai.

Sementara itu, seorang lagi pengguna yang mahu dikenali sebagai Ravi, 29, berkata Jualan Rahmah membantu bukan sahaja golongan B40, M40 malah golongan yang baru bekerja.

"Saya percaya program ini diterima baik oleh masyarakat tidak kira kumpulan B40, pesara malah golongan yang baru bekerja seperti saya.

“Seperti yang kita lihat harga ditawarkan berpatutan dan ramai yang datang membeli barang keperluan, jadi program ini terbukti memberi manfaat, saya amat menyokongnya,” katanya.

PJR yang dilaksanakan KPDN telah dijalankan di 1,229 lokasi di seluruh negara dan memanfaatkan seramai 2.1 juta pengguna.

Bagi negeri Johor pula, sebanyak 611,790 pengguna telah menerima manfaat daripada program berkenaan, bermula Januari tahun ini hingga 31 Julai lepas.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.