KLANG, 20 OGOS: Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Elmina, Seksyen U16 Shah Alam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves hari ini.
Menerusi perkongsian Facebook rasmi Allahyarham, jenazah dijangka dibawa keluar dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang kira-kira jam 9 pagi.
"Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang bagi urusan solat kali pertama.
"Jenazah kemudiannya dijangka tiba di Masjid Saidina Hamzah, Jalan Batu Muda, Kuala Lumpur untuk solat jenazah kali kedua kira-kira jam 11 pagi sebelum urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih Batu Caves kira-kira jam 12 tengah hari," katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Keluarga Allahyarham turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak atas doa dan ingatan terhadap Allahyarham.
Semalam balu Allahyarham, Datin Seri Maziah Samsudin hadir jam 11 pagi menaiki sebuah kenderaan sambil diiringi beberapa individu memasuki bangunan forensik di sini.
Difahamkan kehadiran beliau berkaitan urusan pengecaman jenazah Allahyarham.
Pada Sabtu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan sembilan jenazah mangsa terlibat nahas itu boleh dituntut kira-kira jam 9 pagi di Jabatan Forensik HTAR.
"Semua urusan melibatkan proses pemadanan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan sebelum ini telah diselesaikan.
"Kesemua identiti mayat telah dikenal pasti menerusi usaha yang dijalankan sebelum ini," katanya pada sidang media di pekarangan Jabatan Forensik HTAR.
Dalam kejadian Khamis lalu, 10 mangsa disahkan terkorban dalam nahas pesawat jenis jet peribadi itu.
Mangsa terdiri daripada lapan penumpang dan kru pesawat, selain dua orang awam iaitu penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan berada di lokasi nahas.