SUNGAI PETANI, 19 OGOS: Kerajaan bersedia menghulurkan bantuan kepada keluarga Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, mangsa nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, di Shah Alam, Selangor bagi membantu meringankan beban keluarga terbabit.
Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong berkata pihaknya juga bersedia membantu sebarang urusan keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz di Kuala Lumpur.
[caption id="attachment_571901" align="aligncenter" width="804"] Timbalan Menteri Kewangan Steven Sim Chee Keong ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, pada 15 Mac 2023. Foto BERNAMA[/caption]
"Kalau ahli keluarga nak ambil barang-barang arwah di Kuala Lumpur atau perlukan apa-apa bantuan, saya sudah beritahu bapa mangsa (Muhamad Salleh Othman, 57) boleh hubungi saya atau mana-mana wakil kerajaan.
"Hari ini pun saya hadir mewakili Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk ziarah dan menyerahkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga mangsa," katanya kepada pemberita selepas pengkebumian jenazah Allahyarham Muhammad Hafiz di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung di sini hari ini.
Jenazah sebelum itu disolatkan di masjid berkenaan tidak jauh dari tanah perkuburan tersebut yang diimamkan Bilal 1 Masjid Al Huda, Izzuddin Ariffin.
Kira-kira 1,000 penduduk, kenalan dan saudara-mara serta masyarakat setempat memenuhi kawasan tanah perkuburan itu bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Turut memberi penghormatan terakhir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sidam Bau Wong Bau Ek.
Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang Khamis itu menyaksikan sebuah pesawat peribadi terhempas dan mengorbankan 10 individu termasuk lapan penumpang dan kru pesawat selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing.
- BERNAMA