SHAH ALAM, 19 OGOS: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) merampas tujuh kotak ubat produk langsing tidak berdaftar dianggarkan bernilai RM8,000 menerusi tindakan penguatkusaan di beberapa premis sekitar Selangor.
Pengarah Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata pihaknya melakukan rampasan susulan maklumat orang awam yang diterima Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKNS sejak awal bulan ini.
Beliau berkata produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM (PBKD KKM) yang dirampas itu mengandungi racun berjadual Liraglutide untuk rawatan pelangsingan badan.
“Modus operandi sindiket, memasarkan produk ini melalui media baharu seperti Tik-Tok yang mempromosi rawatan pelangsingan badan dengan cepat, berkesan dan tiada sebarang kesan sampingan.
“Ia dikhuatiri akan mengakibatkan kesan sampingan buruk dan membahayakan kesihatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.
Dr Sha'ari berkata ubat Liraglutide hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar di bawah Akta Racun 1952 dan ia perlu berdaftar di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar membuat semakan kesahihan produk kesihatan yang dijual telah didaftar dengan PBKD KKM.
“Orang ramai boleh salur aduan dan maklumat boleh kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my.
“Aduan juga boleh dibuat di Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200,” katanya.