SHAH ALAM, 18 OGOS: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) mempelawa orang ramai memeriahkan Pesta Pantai Bagan Lalang yang berlangsung selama dua hari mulai esok.
Yang dipertuanya berkata pelbagai aktiviti menarik diadakan bermula jam 7.30 pagi hingga 11 malam pada Sabtu manakala 8 pagi hingga 5 petang (Ahad).
Menurut Dato' Abd Hamid Hussain, program sejak 2016 itu dihidupkan kembali tahun ini selepas tertangguh akibat pandemik Covid-19 selain mengambil kira sambutan pengunjung dan penduduk tempatan.
"Menariknya, pengunjung boleh menyertai acara cabutan bertuah dan berpeluang membawa pulang motosikal, televisyen, telefon pintar, basikal lipat dan pelbagai lagi hadiah menarik.
"MPSepang juga sudah menaik taraf trek pejalan kaki di sepanjang pantai ini bagi keselesaan pengunjung termasuk mengadakan sistem audio kecemasan di pusat maklumat bagi keselamatan orang ramai.
"Selain dapat melihat keindahan pantai, pengunjung turut boleh merasai pengalaman menyusuri Sungai Sepang Besar dengan menaiki bot sambil melihat hutan paya bakau dan melawat ladang buah naga di kawasan ini," katanya ketika dihubungi.
Pesta kali ini menyelitkan lebih banyak aktiviti termasuk pertandingan wau kapal dengan kerjasama Persatuan Wau Kapal Selangor dan Pertandingan Silat Antarabangsa @ Sepang kerjasama Pesaka daerah Sepang.
Turut diadakan pertandingan memasak kuih bangkit buah naga dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya Sungai Pelek yang merupakan ciptaan inovasi pertama di Selangor sekali gus bakal menjadi simbol kepada daerah ini yang kaya dengan hasil buah tersebut.
Antara aktiviti menarik lain adalah sukan rakyat dan permainan tradisional seperti bola tampar pantai, tarik tali, gusti lengan, bina istana pasir, mewarna, fesyen kanak-kanak dan Merdeka Fun Ride, Fun Run.
Turut diadakan adalah reruai kraftangan Orang Asli Kaum Temuan, demonstrasi Batik Selangor, ceramah motivasi, cabutan bertuah, Basikal Tolak (PeBS), Merdeka Fun Run dan Fun Ride, serta pencarian harta karun Treasure HuntSDG Trail.
Pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Black Hanifah dan kumpulan SYJ.
Pantai Bagan Lalang antara pantai yang cantik di Selangor selain Pantai Morib dan Bagan Nakhoda Omar yang popular sebagai lokasi perkelahan dan perkhemahan.
Semasa air surut di Pantai Bagan Lalang, pengunjung boleh berjalan ke tengah laut sehingga 300 ke 400 meter.