SHAH ALAM, 18 OGOS: Rakyat Malaysia khusus penerima Sumbangan Tunai Rahmah dipelawa manfaatkan pemeriksaan kesihatan percuma di klinik panel swasta menerusi Skim Perubatan Madani.
Skim perubatan yang menyediakan nilai manfaat RM250 kepada mereka yang berkeluarga, warga emas (RM125) dan golongan bujang (RM75) meliputi rawatan pesakit luar seperti demam, selsema, cirit birit, muntah, terseliuh, sakit kepala, trauma ringan seperti luka.
Inisiatif dijangka memberi manfaat kepada 700,000 isi rumah dengan peruntukan sebanyak RM100 juta itu diumumkan Kerajaan Perpaduan dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.
Buat masa ini, Skim Perubatan Madani sudah dimulakan di Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling, Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kinta (Perak); Kota Setar, Kuala Muda (Kedah); Kuala Nerus, Kuala Terengganu (Terengganu); Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).
Maklumat lanjut mengenai Skim Perubatan Madani, termasuk semakan kelayakan dan senarai klinik panel boleh didapati di laman sesawang ProtectHealth.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau hubungi 03-8687 2525.