SHAH ALAM, 18 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengeluarkan notis tutup terhadap perusahaan makanan berasaskan soya di Ijok, Kuala Selangor semalam.
Menurut MPKS, arahan itu dikeluarkan dalam satu operasi bersama Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Selangor, susulan aduan pencemaran parit di kawasan berkenaan.
“Operasi ini dijalankan berikutan aduan penduduk mengenai pelepasan sisa buangan hampas soya mengalir ke dalam parit.
“Punca pencemaran dikesan akibat aktiviti pemprosesan dan pembuatan tempe yang beroperasi di sebuah rumah sewa mengakibatkan kacau ganggu bau dan lalat,” katanya di Facebook.
MPKS menjelaskan, enam pekerja warga asing syarikat itu tidak mengambil suntikan tifoid, selain dua daripadanya tidak menggunakan sarung tangan dan berkuku panjang.
Sehubungan itu katanya, MPKS mengeluarkan Notis Arahan Menghentikan Perniagaan dan satu kompaun menyebabkan premis tidak dibenarkan menjalankan aktiviti perniagaan.
“Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor juga mengeluarkan dua notis kompaun berkaitan kesalahan pengendalian makanan.
“Pengusaha dinasihatkan berpindah ke lokasi bersesuaian di tempat lain,” katanya.