OLEH DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 18 OGOS: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Antarabangsa fokus mencari penyelesaian terbaik berhubung isu kesesakan trafik yang membelenggu penduduk kawasan itu sejak sekian lama.
Menerusi perkongsian video isterinya Suzana Shaharudin, Kamri Kamaruddin menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sehari selepas diberi mandat dengan mengawal kesesakan trafik di Bukit Utama Ahad lalu.
Kawasan itu sesak berikutan menjadi tumpuan orang ramai yang mengunjungi lokasi pelancongan Panorama Bukit Antarabangsa khususnya pada hujung minggu.
[caption id="attachment_598502" align="alignleft" width="381"] Panorama Bukit Antarabangsa yang dirakam pada 25 September 2022. Foto Facebook Mohd Kamarul Izzani[/caption]
"Isu nampak kecil tapi kami yang tinggal di Bukit Utama, Bukit Antarabangsa akan pening kepala menghadapi masalah trafik yang menganggu susur keluar kami apabila terlalu ramai pengunjung yang datang ke panorama atau lebih di kenali Stelvio @Bukit Antarabangsa. Ada yang mengambil jalan mudah dan 'parking' di tepi jalan utama di hadapan Stelvio.
"Mungkin nampak remeh hari pertama menjadi YB (Yang Berhormat), sudah turun padang untuk masalah trafik, namun inilah realiti isu yang perlu diselesaikan," katanya di Facebook.
Tambahnya, Kamri juga menghubungi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu yang menyelubungi penduduk di Taman Bukit Utama 1, Taman Bukit Utama 2, Puncak Bukit Utama, Laman Oakleaf dan Kondominium Sinaran Ukay.
Selain berjanji meningkatkan fasiliti dan pelbagai program berbentuk riadah, isu kesesakan dan kekurangan tempat parkir kenderaan di lokasi tumpuan pengunjung terutamanya pada hujung minggu merupakan salah satu manifesto Kamri dalam kempen pilihan raya negeri.