AGENDA

Menteri: Henti tular foto, video mangsa nahas pesawat, jaga perasaan keluarga

18 Ogos 2023, 7:19 AM
Menteri: Henti tular foto, video mangsa nahas pesawat, jaga perasaan keluarga

SEREMBAN, 18 OGOS: Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan atau berkongsi gambar mahupun video mangsa tragedi nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor semalam.

Beliau meminta orang ramai supaya menjaga dan menghormati perasaan keluarga mangsa terlibat dengan tidak menyalahgunakan platform media sosial dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi dugaan itu.

“Kita perlu menjaga adab ketika mengunakan media sosial ini. Kalau tidak mahu keaiban diri sendiri dibuka, jangan buka aib orang lain.

“Takziah kepada keluarga mangsa dan kita doakan mereka diberikan kesabaran atas kehilangan insan tersayang,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 15 set komputer di Sekolah Menengah Sains Tuanku Aisha Rohani di sini hari ini.

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor mengakibatkan 10 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun maut.

Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Terdahulu pada majlis itu Mohd Na’im berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan turut menyumbangkan RM200,000 bagi membaik pulih surau bagi kegunaan pelajar dan guru di sekolah tersebut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.