ad
AGENDA

Tapak pasar malam Kampung Delek Kiri antara lokasi jualan murah hari ini

16 Ogos 2023, 12:30 AM
Tapak pasar malam Kampung Delek Kiri antara lokasi jualan murah hari ini

SHAH ALAM, 16 OGOS: Program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah diteruskan di tiga lagi lokasi hari ini bermula jam 10 pagi.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi Facebook memaklumkan jualan diadakan di tapak pasar malam Kampung Delek Kiri, Klang; KRT Klang Perdana dan Pusat Khidmat Ahli Majlis MPP Zon 1 MBSA Jalan Durian 4/1.

Jualan murah yang dijenamakan semula daripada Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan hingga Disember ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Barangan asas dijual termasuk ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

PKPS menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan linktr.ee/myPKPS.

Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.