ad
AGENDA

Dua beranak maut kereta terbabas di Jalan Gua Musang - Lojing

13 Ogos 2023, 7:20 AM
Dua beranak maut kereta terbabas di Jalan Gua Musang - Lojing

GUA MUSANG, 13 OGOS: Dua beranak maut selepas kenderaan dinaiki terbabas di Kilometer (KM) 73 Jalan Gua Musang-Lojing, di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.09 tengah malam itu, mangsa, Normardiah Taha, 45, yang memandu kereta dan ibunya, Fatimah Sa'aid, 67, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata kejadian dipercayai apabila kenderaan mangsa hilang kawalan dan terbabas sehingga menyebabkan kemalangan.

"Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Ipoh, Perak menuju ke Kuala Terengganu.

"Apabila sampai di tempat kejadian kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan ketika mengambil selekoh dan terbabas ke parit sebelah kiri jalan serta melanggar tiang elektrik.

"Kenderaan mangsa berpusing beberapa kali dan menyebabkan ibunya tercampak keluar dari kenderaan. Dua beranak itu disahkan maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedua-dua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat, lapor Berita Harian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta hubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 019-4742270.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.