AGENDA

SPRM cari sejak Jun, menantu Muhyiddin ke luar negara selepas dikehendaki

10 Ogos 2023, 8:49 AM
SPRM cari sejak Jun, menantu Muhyiddin ke luar negara selepas dikehendaki

SHAH ALAM, 10 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula mencari Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan sejak Jun tetapi menantu Tan Sri Muhyiddin Yassin itu tidak memberi kerjasama.

Menafikan usaha tersebut baru dibuat, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menjelaskan agensi berkenaan telah beberapa kali mencuba menghubunginya tetapi gagal.

"Kita sudah mencarinya sejak Jun tetapi gagal untuk beri bekerjasama dan setiap kali pegawai penyiasat berhubung dengannya, ada alasan diberikan," katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

SPRM dalam kenyataan 7 Ogos lalu menyebut Adlan, dan seorang lagi yang dikehendaki Mansoor Saat, meninggalkan Malaysia pada Mei lalu serta tiada rekod kembali ke negara ini.

Justeru, Azam meminta Adlan yang kini berada di luar negara supaya balik berurusan dengan SPRM tanpa sebarang alasan.

"Tindakan (notis orang dikehendaki) dilakukan apabila beliau tidak mahu bekerjasama dan bukan ada kaitan dengan pilihan raya negeri," katanya lagi.

Semalam, Azam dilapor berkata Adlan bersama seorang lagi lelaki lari ke luar negara selepas SPRM menyenaraikan mereka sebagai "orang yang dikehendaki".

Beliau berkata SPRM juga akan memohon notis merah untuk meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dalam masa terdekat dan meminta Jabatan Imigresen Malaysia membeku pasport mereka.

Namun, peguam Adlan semalam menegaskan anak guamnya bukan melarikan diri sebaliknya meninggalkan negara secara sah dan tidak pernah dipanggil SPRM untuk siasatan.

Datuk Dr Baljit Singh Sidhu menegaskan anak guamnya akan pulang ke Malaysia secepat mungkin bagi memberikan kesemua jawapan dan membantu SPRM dalam apa-apa siasatan.

Pada 8 Ogos, Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri dan pengerusi Perikatan Nasional enggan mengulas kenyataan SPRM. Namun, pada Februari, beliau menafikan penglibatan Adlan dan menyifatkan isu tersebut "fitnah jahat yang sengaja direka."

Pada hari sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebab seseorang yang dikehendaki SPRM melarikan diri. "Kalau ada bukti, siasat, dia (SPRM) dakwa, kalau rasa tak bersalah pertahanlah (diri). Lari bukan contoh yang baik," katanya.

Kedua-dua lelaki itu dikesan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.