ad
AGENDA

Tiga negeri HARAPAN diterima ramai, rasa puas hati penduduk negeri PN rendah

10 Ogos 2023, 6:52 AM
Tiga negeri HARAPAN diterima ramai, rasa puas hati penduduk negeri PN rendah
Tiga negeri HARAPAN diterima ramai, rasa puas hati penduduk negeri PN rendah

SHAH ALAM, 10 OGOS: Sebanyak 82.2 peratus pengundi cukup berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor, menurut firma tinjauan pendapat Ilham Centre.

Prestasi dua lagi negeri ditadbir gabungan itu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, turut menerima maklum balas memberangsangkan dengan skor masing-masing 81.3 dan 75.4 peratus.

Di negeri pembangkang, hanya 61.5 peratus pengundi berpuas hati dengan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Kelantan, sementara Kedah dan Terengganu masing-masing 68.9 dan 69.2 peratus.

"Kajian ini mencatatkan penilaian oleh responden terhadap prestasi Kerajaan HARAPAN mendahului dan lebih baik secara keseluruhan berbanding negeri-negeri PAS-PN.

"Ini memberikan gambaran bahawa pentadbiran menteri besar atau ketua menteri di negeri HARAPAN diterima baik menerusi dasar yang dilaksanakan sepenggal lalu," lapor firma itu dalam kenyataan media hari ini.

Daripada sudut kebajikan, ketiga-tiga negeri diteraju HARAPAN mendapat peratusan tinggi iaitu 75.7 peratus di Selangor, Pulau Pinang (78.5 peratus) dan Negeri Sembilan (69.8 peratus).

Aspek hala tuju jelas dalam membangunkan ekonomi, bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal dan tanah bagi tiga negeri itu juga diterima baik, antara 68.6 hingga 90.8 peratus.

"Sebagai perbandingan, responden di Kelantan pula sekadar memberikan peratusan tidak lebih 60 peratus dalam soal yang melibatkan tanggungjawab Kerajaan Negeri.

"Semua sedia maklum, isu bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal, isu berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima rungutan yang tinggi oleh responden semasa kajian ini dilakukan," kata Ilham Centre yang mengumpul data dari 11 hingga 27 Julai, dua minggu sebelum penamaan calon.

Dalam kajian sama, sebanyak 75.7 peratus pengundi mahu pentadbiran Selangor sedia ada dikekalkan, Pulau Pinang (78.3 peratus) dan Negeri Sembilan (68.1 peratus).

"Dalam konteks keseluruhan, tahap kecekapan pengurusan dan mentadbir, negeri HARAPAN menerima dukungan dari rakyat, manakala negeri PAS mengakui wujud faktor kekurangan dalam melaksanakan pembangunan dan menjaga keperluan rakyat," menurut Ilham Centre lagi.

Melibatkan 2,416 responden, tinjauan itu turut bertemu 102 responden kumpulan anak muda, pemimpin tempatan dan wanita dalam sesi temu bual mendalam dan kumpulan berfokus.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.