ad
ADN

Bina klinik kesihatan kedua di Batang Kali, kurangkan kesesakan klinik sedia ada

10 Ogos 2023, 6:23 AM
Bina klinik kesihatan kedua di Batang Kali, kurangkan kesesakan klinik sedia ada

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pembinaan klinik kesihatan lengkap dengan infrastruktur bakal dibina di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali bagi memudahkan penduduk mendapat rawatan.

Calon Barisan Nasional Datuk Mohd Isa Abdul Kasim berkata ketika ini hanya ada satu pusat kesihatan di Serendah dan semua penduduk tertumpu ke situ.

“Klinik berkenaan sudah terlalu padat. Penduduk sekitar Rasa, Bukit Beruntung juga ke sana. Jadi kita risau timbul isu perkhidmatan tidak memuaskan.

“Kalau terdesak mereka terpaksa keluarkan wang pergi ke swasta jadi ini mendatangkan beban kewangan. Sebab itu kita mahu bina satu lagi klinik supaya kebajikan dan kesihatan penduduk terjaga,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Isa yang pernah menjadi wakil rakyat DUN berkenaan juga mahu tubuhkan pasukan khas memantau operasi tapak perkhemahan untuk mengelakkan kejadian buruk berlaku.

“Hasrat ini akan dilaksana bersama pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita tidak mahu insiden malang yang berlaku hujung tahun lalu berulang lagi,” katanya.

Pada Disember 2022 runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm mengakibatkan 31 nyawa terkorban.

Susulan itu bermula 1 Februari lalu semua pengusaha tapak perkhemahan di Selangor diwajibkan berdaftar dengan PBT bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.