SEPANG, 10 OGOS: Berbaki kurang 48 jam tempoh berkempen, jentera Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil menggiatkan kempen menerusi media sosial dan aplikasi WhatsApp bagi mendekati pengundi.
Calon Dengkil Noorazli Said berkata pelbagai platform digunakan bagi memastikan pengundi mendapat maklumat dan menarik mereka untuk turun mengundi Sabtu ini.
“Walaupun penduduk di Dengkil sudah biasa dengan kehadiran saya, namun kita tetap giatkan kempen di hari-hari terakhir ini bagi memastikan mereka yakin untuk memilih siapa.
“Diharap pengundi dapat memberi peluang kepada saya untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini bagi memastikan pembangunan dan kemudahan dapat dilaksanakan dengan mudah jika pentadbiran negeri selari pusat,” katanya kepada Selangorkini.
Noorazli meneruskan program kempennya hari ini dengan bersarapan bersama penduduk di sebuah warung di Pekan Dengkil sebelum meninjau program Jelajah Ehsan Rahmah di dewan orang ramai Jenderam Hilir hari ini.
Beliau berkata jentera DUN Dengkil akan menyediakan kemudahan pengangkutan bagi membawa penduduk untuk keluar mengundi Sabtu ini.
“Setiap jentera di 23 pusat daerah mengundi (PDM) sudah mengenal pasti keperluan logistik diperlukan dan pengundi yang akan mereka santuni.
“Lebih 500 kenderaan pelbagai mod disediakan termasuk motosikal, kereta dan van untuk membawa pengundi pergi dan pulang dari pusat mengundi masing-masing,” katanya.
DUN Dengkil menyaksikan pertandingan empat penjuru dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu ini.
Noorazli dicabar Datuk Seri Jamil Salleh (Perikatan Nasional), Darren Ong (Parti Sosialis Malaysia) dan Datuk Mohd Daud Leong Abdullah (Parti Utama Rakyat).