ad
AGENDA

PRN: 1.9 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya Plus Sabtu ini

10 Ogos 2023, 4:49 AM
PRN: 1.9 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya Plus Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Orang ramai yang ingin pulang ke kampung atau lokasi pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini diingatkan merancang perjalanan susulan peningkatan trafik yang dijangka mencecah sehingga 1.9 juta kenderaan sehari di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

Pengurus Besar Kanan Operasi Plus Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata pengguna lebuh raya dijangka menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan antara 11 hingga 12 Ogos ini berbanding hari biasa.

“Bagaimanapun bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan lebih selesa, Plus telah membuat persediaan merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (RnR) agar semua berada pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Plus juga menghentikan sementara kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 11 hingga 13 Ogos, kecuali melibatkan kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan terlibat kemalangan.

Selain itu katanya, Plus juga memastikan semua kemudahan awam seperti tandas, surau serta stesen minyak di kawasan RnR serta hentian sebelah beroperasi 24 jam sehari untuk menampung kehadiran pengguna lebuh raya.

"Pengguna lebuh raya juga digalakkan berhenti rehat setiap dua jam pemanduan dan menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman yang disediakan di RnR sebelum menyambung semula perjalanan," katanya.

Beliau berkata maklumat trafik juga boleh diperoleh dengan memuat turun Aplikasi Plus, atau mengikuti akaun Twitter@PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik (VMS) di lokasi terpilih dan talian PLUSLine di 1800-88-0000.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.