ad
AGENDA

Kolam tebatan banjir di Taman Selayang siap November ini

10 Ogos 2023, 4:19 AM
Kolam tebatan banjir di Taman Selayang siap November ini

Oleh AZIAN AZIZ

GOMBAK, 10 OGOS: Isu banjir beberapa kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua akan selesai selepas projek tebatan banjir di Taman Selayang, Batu Caves, siap dibina November ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini proses mengalihkan bengkel di kawasan tersebut sedang dilaksanakan sebelum kolam takungan dibina.

“Petang tadi (semalam) ada banjir… adalah orang kritik kenapa banjir masih ada. Saya nak beritahu banjir ini berlaku kerana projek tebatan banjir kita belum selesai.

“Bila akan selesai? Bulan 10 atau pun bulan 11. Kenapa kita tak selesaikan dulu? Sebab kita terpaksa alihkan bengkel di belakang sana.

“Insya-Allah banjir akan selesai selepas kita siap buat kolam takungan di kawasan Sekolah Taman Selayang,” katanya

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Sungai Tua itu berkata demikian dalam ceramah di Festival #ArusMerahKuning @Sungai Tua di Dataran Sungai Tua.

Sementara itu, pengerusi HARAPAN Selangor itu berharap pengundi di DUN Sungai Tua keluar mengundi pada 12 Ogos dan terus memilih beliau sebagai wakil rakyat.

“12 Ogos ini masa depan kita…jangan tak turun mengundi teruskan sokongan kepada diri saya dan HARAPAN seperti penggal lepas. Kita pasti akan terus bawa Selangor dan Sungai Tua jauh lebih baik,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.