ad
AGENDA

Polis OKU penglihatan antara pengundi awal tunai tanggungjawab

8 Ogos 2023, 6:18 AM
Polis OKU penglihatan antara pengundi awal tunai tanggungjawab
Polis OKU penglihatan antara pengundi awal tunai tanggungjawab

KUALA SELANGOR, 8 OGOS: Seorang anggota polis orang kurang upaya (OKU) penglihatan tidak melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian awal sempena pilihan raya negeri (PRN) hari ini.

Koperal Abdullah Sidee Mohamed, 35, berkata beliau teruja apabila diberi kesempatan mengundi buat kali ketiga di pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini.

“Ini kali ketiga saya mengundi dalam keadaan tidak boleh melihat. Sudah tentu saya berasa sangat lega dan gembira kerana dapat menunaikan tanggungjawab saya.

“Proses pengundian juga berjalan lancar. Ada kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membantu ketika saya mahu melaksanakan undi,” katanya.

Beliau yang bertugas di Bahagian Logistik dan Teknolongi Cawangan Pengangkutan (Pentadbiran) hadir dengan dibantu rakannya Lans Koperal Sazwan Hariq Mahmad.

[caption id="attachment_596943" align="alignnone" width="821"] Koperal Abdullah Sidee Mohamed yang cacat penglihatan bersama calon DUN Bukit Melawati, Thiban Subbramaniam dari HARAPAN dan Noorazley Yahya (PN) selepas membuang undi di Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor pada 8 Ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

Abdullah menjelaskan, beliau kehilangan deria penglihatan pada 2017 selepas mengalami ketumbuhan di bawah otak, sehingga menjejaskan saraf matanya.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 14 tahun di IPD Kuala Selangor kemudiannya ditukarkan sebagai pegawai penghubung bagi membantu menyelaras bahagian logistik.

“Saya bersyukur atas semua nikmat yang diberikan Tuhan. Saya berharap mereka yang lebih sempurna juga dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat,” katanya.

Abdullah yang hadir jam 9.25 pagi merupakan antara 326 pengundi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.