ad
ADN

Mahu sedia lebih banyak rumah mampu milik di Gombak

6 Ogos 2023, 4:14 AM
Mahu sedia lebih banyak rumah mampu milik di Gombak

Oleh Shamz Johan

AMPANG JAYA, 6 OGOS: Calon Gombak Setia akan memohon kepada Kerajaan Negeri untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu jika diberi mandat pada pilihan raya negeri kali ini.

Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata daerah Gombak antara kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi.

"Tawaran membina 200,000 unit rumah mampu milik yang diumum Dato' Seri Amirudin Shari adalah sangat bertepatan dan sangat sesuai dilaksanakan.

"Perkara pertama saya akan buat jika terpilih, saya akan memohon kepada Menteri Besar untuk tambahkan bilangan unit rumah yang akan dibina di Gombak Setia ini," katanya pada ceramah kelompok di Taman Gombak Ria.

Tambahnya, inisiatif itu membantu lebih ramai anak jati Gombak memiliki rumah sendiri selain dapat menghalang mereka berhijrah ke tempat lain dan tinggal lebih dekat dengan keluarga serta ibu bapa.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada jentera perpaduan yang bekerja keras serta mengorbankan masa dan tenaga untuk kerusi Gombak Setia.

Megat Zulkarnain berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang, Hilman Idham daripada Perikatan Nasional selain calon bebas, Mohamed Salim Mohamed Ali.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.