ad
AGENDA

MB: Rekod cemerlang pentadbiran negeri lonjak sokongan masyarakat

5 Ogos 2023, 2:25 AM
MB: Rekod cemerlang pentadbiran negeri lonjak sokongan masyarakat

SHAH ALAM, 5 OGOS: Rekod cemerlang pentadbiran negeri antara faktor sokongan masyarakat India terhadap kerajaan perpaduan di Selangor meningkat sehingga 80 peratus.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyifatkan pencapaian itu sebagai petanda positif buat Kerajaan Selangor menjelang pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos.

"Sudah pasti besar sokongan tetapi tidaklah 100 peratus. Ia dibuktikan dengan representasi kita yang lebih mantap dan rekod baik.

"Jadi saya percaya (sokongan) capai sehingga 80 peratus daripada masyarakat India. Cuma kita harapkan mereka turun mengundi dan memberi sokongan pada PRN nanti," katanya semalam.

Beliau ditemui pada program perjumpaan pimpinan India Malaysia di Pusat Konvensyen Midlands, yang turut dihadiri calon Sentosa Dr G Gunaraj dan bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Sementara itu, Charles berkata pihaknya membantu kempen PRN melalui TikTok bagi memberi kesedaran kepada masyarakat India supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Beliau menambah pertemuan dengan pemimpin masyarakat India terdiri daripada peniaga, badan bukan kerajaan (NGO) dan profesional juga diadakan lebih kerap.

"Undi masyarakat India pada PRN sangat penting dan ia tugas yang harus digalas bersama untuk selamatkan negara," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.