ad
AGENDA

Megat: Sokong parti bela kebajikan rakyat, tolak politik kebencian

31 Jul 2023, 12:44 AM
Megat: Sokong parti bela kebajikan rakyat, tolak politik kebencian

GOMBAK, 31 JULAI: Pengundi Selangor diseru menyokong parti yang mampu membela kebajikan dan menolak politik kebencian yang boleh menggugat keharmonian negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin menegaskan rakyat juga lelah dengan isu penghinaan yang melibatkan pimpinan tertinggi negeri.

"Politik ini mestilah politik yang bijak dan boleh beri tawaran kepada rakyat. Rakyat tidak mahu dengar cerita pak lawak dan cerita orang yang pandai menghina, mencaci pimpinan tertinggi negeri.

"Jangan benarkan politik jijik, kotor dan kebencian melampau bertapak di Selangor. Kita bumi berdaulat, kita ada cara bagaimana memilih pemimpin serta meraikan demokrasi," katanya malam tadi.

Bercakap pada ceramah Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua, calon DUN Gombak Setia itu menjelaskan satu undi daripada rakyat Selangor amat berharga untuk masa depan negeri.

"Betapa penting undian pada 12 Ogos nanti. Satu undi yang diberikan bukan hanya menentukan siapa menang atau kalah, tetapi akan menentukan masa depan rakyat Selangor sendiri," katanya.

Megat bakal berdepan saingan tiga penjuru melawan penyandang Muhammad Hilman Idham dari Perikatan Nasional dan calon Bebas Mohamed Salim Mohamed Ali.

Hari penamaan calon pilihan raya negeri Selangor, dan lima negeri lain, berlangsung 29 Julai lalu. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.