ad
ADN

Calon DUN Taman Templer fokus atasi kesesakan lalu lintas

30 Jul 2023, 7:38 AM
Calon DUN Taman Templer fokus atasi kesesakan lalu lintas

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 30 JULAI: Isu kesesakan lalu lintas antara fokus Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Anfaal Saari berkata kesesakan membabitkan jarak lapan kilometer bermula dari Caltex Selayang Pandang sehingga ke Rawang Bypass dari 6.30 hingga 9.30 pagi dan dari 3.30 petang hingga 7 malam pada hari bekerja.

“Kebanyakan penduduk tinggal di sini namun bekerja di Kuala Lumpur. Kita lihat isu ini mengganggu dari segi kesejahteraan hidup.

“Ini berikutan mereka perlu bangun awal pagi malah mengalami tekanan berikutan terpaksa menempuh kesesakan ketika pergi dan pulang kerja,” katanya ketika ditemui pada program walkabout di Kampung Melayu Batu 16 Tambahan Rawang di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut Anfaal berkata pihaknya komited meneruskan usaha yang dimulakan Ahli Parlimen Selayang William Leong dan wakil rakyat Taman Templer sebelum ini, Mohd Sany Hamzan dalam menyelesaikan gangguan trafik yang menghantui penduduk sejak sekian lama.

Anfaal berdepan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Aida Rahman serta Zaidy Abdul Talib dari Perikatan Nasional. Hari mengundi pilihan raya negeri ditetapkan 12 Ogos ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.