ad
AGENDA

Penduduk Sungai Sireh digesa tidak terpedaya berita palsu pampasan rendah

29 Jul 2023, 10:46 AM
Penduduk Sungai Sireh digesa tidak terpedaya berita palsu pampasan rendah

SHAH ALAM, 29 JULAI: Penduduk Taman Sungai Sireh, Klang diminta tidak terpedaya dengan berita palsu berkaitan pampasan rendah berikutan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurut pemaju Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) yang membangunkan projek tersebut, pihaknya akan memberi maklumat mengenai status pengambilan tanah dari semasa ke semasa.

"MRL menyeru pemilik dan penghuni untuk tidak terperdaya dengan spekulasi dan berita palsu di media sosial mengenai tawaran pampasan yang rendah," kata kenyataan hari ini.

Pada 24 Julai, Dato' Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab tohmahan pembangkang menegaskan tiada notis perobohan dikeluarkan kepada pemilik rumah taman tersebut.

Menyifatkan isu itu diputar belit, beliau berkata kerja pembinaan hanya bermula 2025 dan perbincangan dengan pemaju masih berlangsung. Tambahnya, jajaran sebenar belum dimuktamad.

“Ini bermakna perobohan tidak dibuat dalam masa terdekat, yang berlaku adalah penilaian untuk dicadang (kepada pemaju). Kerajaan Negeri perlu mendapat realiti manakah jajaran sebenar,” katanya.

Baru-baru ini, tular rakaman memaparkan aktivis pembangkang mencabar Amirudin bertemu penduduk Taman Sungai Sireh berhubung pembinaan ECRL di kawasan tersebut.

Pada 18 Februari, Amirudin memberi jaminan untuk membela 89 penduduk di Pelabuhan Klang yang terjejas termasuk menyediakan rumah ganti jika jajaran tersebut tidak dialih ke lokasi lain.

Pada April 2021, kerajaan persekutuan memaklumkan pembinaan di Seksyen C Jajaran Utara melibatkan stesen Temerloh, Bentong, Gombak, Hulu Selangor dan Klang.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.