ad
AGENDA

Calon HARAPAN Batu Tiga seru pengundi muda buang undi

28 Jul 2023, 2:49 PM
Calon HARAPAN Batu Tiga seru pengundi muda buang undi

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 28 JULAI: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga menyeru pengundi muda keluar membuang undi pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor kali ini.

Danial Al-Rashid Haron berkata pihaknya sudah mula bertemu kumpulan anak muda bagi memberi penerangan mengenai hak, tanggungjawab serta peranan mereka dalam pembentukan Kerajaan Negeri.

"Kesedaran perlu ada dalam kalangan anak muda, kita sasar capai peratusan lebih 70 peratus keluar mengundi.

"Ini satu tanggungjawab besar, anak muda perlu ada disiplin dan perlu pertahankan kerajaan sedia ada kerana kerajaan ini prihatin dengan kebajikan rakyat serta berkongsi hasil kekayaan bersama rakyat," katanya.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda HARAPAN Selangor turut menyokong keyakinan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bahawa gabungan itu akan memenangi dua pertiga kerusi DUN.

"Harapan kita kali ini sangat besar, terutama Pemuda Amanah Selangor, kesepaduan semua parti komponen amat baik dan sekarang masa untuk bekerja.

Danial antara enam muka baharu yang dicalonkan Amanah menggantikan penyandang sebelum ini, Rodziah Ismail di DUN Batu Tiga.

Esok merupakan hari penamaan calon pilihan raya negeri (PRN) Selangor dan lima negeri lain manakala hari mengundi pula pada 12 Ogos.

PRN ini melibatkan 56 DUN di Selangor, Pulau Pinang (40), Negeri Sembilan (36), Kedah (36), Kelantan (45) dan Terengganu (32).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.