ad
PBT

500 anak pokok bakau pulihara taman rekreasi Mangrove Point, Pelabuhan Klang

28 Jul 2023, 12:15 AM
500 anak pokok bakau pulihara taman rekreasi Mangrove Point, Pelabuhan Klang

Oleh Fhatihah Zakinan

SHAH ALAM, 28 JULAI: Sebanyak 500 anak pokok bakau ditanam di taman rekreasi Mangrove Point, di Pelabuhan Klang bagi tujuan memberi kesedaran kepada pengunjung mengenai kepentingan memulihara hutan paya bakau.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), memaklumkan penanaman anak pokok bakau yang disumbangkan APM Springs Sdn Bhd itu turut mendapat kerjasama Selangor Maritime Gateway (SMG), pada 22 Julai lalu.

Noraini Roslan berkata, turut menjayakan program itu adalah Pejabat Hutan Daerah Klang dan Pejabat Renjer Hutan Pelabuhan Klang.

"Program ini bertujuan untuk memelihara dan memulihara ekosistem di samping meningkatkan kesedaran berkaitan kepentingan memulihara hutan paya bakau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusi mesyuarat penuh bulanan MPK semalam.

Taman rekreasi Mangrove Point yang meliputi hutan paya bakau seluas 70 ekar dibangunkan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan dibuka kepada orang awam secara rasmi, 26 Julai lalu.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan taman yang dibangunkan dengan kos RM10 juta itu dilengkapi surau, tandas, kawasan perkhemahan dan riadah selain aktiviti memancing.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.