ad
ADN

Calon HARAPAN ziarah bekas jiran, tumpu selesai isu tempatan

27 Jul 2023, 2:26 PM
Calon HARAPAN ziarah bekas jiran, tumpu selesai isu tempatan

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 27 JULAI: Calon Pakatan Harapan (Harapan) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang melawat beberapa rumah pada program Ziarah Kasih di Taman Permata di sini hari ini.

Membesar di kawasan itu, Juwairiya Zulkifli bertemu bekas jirannya yang menghidap penyakit radang sendi manakala seorang lagi bekas pesakit tumor yang juga seorang asnaf.

Menurut timbalan ketua wanita Parti Keadilan Rakyat, kedua-duanya memerlukan bantuan berikutan masalah kesihatan yang dihadapi termasuk kekangan melunaskan sewa rumah.

"Aduan telah diambil dan kita lihat bagaimana dapat bantu (selesaikan) perkara ini. Ini (Hulu Kelang) tempat saya membesar, saya tidak jangka balik ke sini dan menjadi calon.

"Ia satu peluang berharga dan saya sangat bermotivasi untuk mewakili serta memperjuangkan (masalah) penduduk di sini," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, bekas pesakit tumor Shamsiah Sehat, 52, berharap Juwairiya dapat membantu isu kebajikan penduduk termasuk pendidikan sekiranya memenangi pilihan raya negeri.

"Saya ada lima anak yang masih bersekolah, dua belajar di institut pengajian tinggi. Kos perbelanjaan semakin tinggi, justeru saya berharap wakil rakyat seterusnya akan terus membantu penduduk," katanya.

Selain program ziarah, Juwairiya turut menghadiri Bengkel Kemahiran Keibubapaan DUN Hulu Kelang di Kompleks Penghulu Mukim Hulu Kelang, yang dihadiri kira-kira 50 peserta.

Beliau juga meninjau program Jualan Ehsan Rahmah (JER) di Dewan JKKK Kampung Kemensah dan beramah mesra bersama lebih 400 penduduk yang hadir bagi membeli keperluan asas pada harga murah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.