OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB
SHAH ALAM, 27 JULAI: Pit Stop Rahmah untuk pekerja e-panggilan di Seksyen 9 Bandar Baru Bangi siap sepenuhnya dan mula beroperasi 25 Julai lalu.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal Mazwan Johar berkata pembinaan pondok rehat itu menelan belanja RM40,000 di bawah peruntukan Projek Selangor Penyayang (PSP) DUN berkenaan.
“Pondok rehat yang terletak di hadapan Kompleks PKNS Bandar Baru Bangi itu diusahakan dengan kerjasama DUN Sungai Ramal dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
“Pembinaan pondok rehat ini dapat memberi kemudahan dan keselesaan untuk pekerja e-panggilan berteduh. Diharap pondok ini dapat digunakan sebaiknya demi manfaat bersama,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata pembinaan pondok itu juga antara legasi Rahmah yang akan sentiasa subur di DUN Sungai Ramal.
Pelancaran insiatif Pit Stop Rahmah untuk pekerja e-panggilan itu disempurnakan pada 6 April lalu oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menerusi Belanjawan 2023 Dato’ Menteri Besar memperuntukan RM28 juta bawah inisiatif PSP sebagai usaha mempergiat dan merancakkan ekonomi setempat dengan penyediaan projek kecil demi manfaat rakyat.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keutamaan bagi pelaksanaan projek itu akan diberikan kepada projek penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur serta pembangunan kemudahan awam kerajaan termasuk yang tidak mempunyai peruntukan penyelenggaraan tahunan.