SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebanyak 17 Projek Selangor Penyayang (PSP) berjaya diselesaikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik sejak tahun lalu hingga kini.
Penyandangnya Najwan Halimi berkata antara projek tersebut adalah baik pulih pagar keselamatan dan laluan pejalan kaki di Jalan Cokmar 1, Taman Mutiara, Bukit Raja serta baik pulih bumbung serta bina semula tandas di Kuil Seksyen 16.
Selain itu, katanya peruntukan hampir RM500,000 daripada Kerajaan Negeri itu turut dimanfaatkan bagi kerja turapan jalan, baik pulih infrastruktur sekolah, membina pagar keselamatan dan menaik taraf beberapa kemudahan sukan di DUN berkenaan.
"Semua ini dilaksanakan dengan jayanya selepas kita menerima aduan dan permohonan daripada penduduk yang mahukan beberapa infrastruktur di kawasan mereka diperindahkan dan ditambah baik.
"Justeru, saya sebagai wakil rakyat di kawasan ini sebelum ini mengambil tanggungjawab memanfaatkan peruntukan PSP dengan melaksanakan yang terbaik demi keselesaan penduduk di DUN Kota Anggerik," katanya ketika dihubungi.
Mengulas berhubung dirinya tercalon lagi pada PRN akan datang, Najwan meluahkan syukur dan berterima kasih kepada pimpinan parti kerana masih memberi peluang dan kepercayaan kepadanya.
"Alhamdulillah, syukur nama tercalon lagi pada PRN kali ini. Insya-Allah, sekiranya berjaya diangkat lagi sebagai wakil rakyat di sini saya akan berusaha memberi khidmat yang terbaik kepada penduduk DUN Kota Anggerik.
"Berhubung manifesto yang akan ditawarkan kepada pengundi, insya-Allah saya akan umumkan dalam masa terdekat, saya berharap pengundi terus memberi peluang kepada Pakatan Harapan mentadbir negeri ini," katanya.