ad
ADN

Noktahkan kemiskinan tegar fokus calon DUN Sungai Burong

26 Jul 2023, 6:16 AM
Noktahkan kemiskinan tegar fokus calon DUN Sungai Burong

OLEH NAJAMUDDIN MOHD NOR

SHAH ALAM, 26 JULAI: Menoktahkan isu kemiskinan tegar penduduk antara fokus calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong jika menang pilihan raya negeri (PRN).

Mohamad Khir Ramli, 53, berkata beliau juga berhasrat merancakkan pelancongan desa sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Jika saya dipilih rakyat, segala kerja yang telah dilakukan oleh wakil rakyat terdahulu akan saya teruskan dalam membela nasib rakyat.

"Selain itu, saya lihat sektor pertanian boleh dirancakkan dengan elemen pelancongan di mana boleh memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat untuk menjana pendapatan," katanya kepada Selangorkini.

Ditanya mengenai peluang memenangi DUN Sungai Burong, Mohamad Khir berkata kelebihan sebagai anak jati mampu memikat hati pengundi sekali gus mengekalkan penguasaan BN di DUN tersebut.

"Saya tahu selok belok resam, masalah dan apa yang dimahukan rakyat dan itu yang menjadi pertaruhan saya untuk memenangi hati rakyat di sini," kata bapa kepada sembilan orang anak itu.

Mohamad Khir merupakan muka baharu yang dicalonkan BN untuk mempertahankan DUN Sungai Burong pada PRN ini.

Hari penamaan calon PRN Selangor dan lima negeri lain, ditetapkan pada 29 Julai ini. Hari mengundi pula pada 12 Ogos.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.