AMPANG JAYA, 25 JULAI: Kebanyakan penduduk generasi pertama di Taman Keramat di sini lega permohonan lanjutan hak milikan tanah kepada 99 tahun diluluskan Kerajaan Selangor.
Salah seorang penduduk Abdul Aziz Mohd Noor, 67, berkata meski tempoh tamat pajakan tanah berbaki lebih 60 tahun, namun mereka mengambil peluang memperbaharuinya pada saat awal.
[caption id="attachment_594948" align="alignleft" width="297"] Abdul Aziz Mohd Noor[/caption]
"Tempoh pemilikan tanah ini tamat lambat lagi pada 2086 tetapi kita mengambil langkah awal melanjutkan kepada 99 tahun memandangkan harga premium tanah yang masih rendah.
"Bimbang juga jika harga premium tanah pada masa akan datang meningkat berganda dan ini juga demi kesenangan anak cucu kita nanti," katanya yang mengakui selesa tinggal di kawasan berkenaan.
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian surat kelulusan pemilikan tanah (Notis 5A) kepada 46 pemohon oleh Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di sini semalam.
[caption id="attachment_594947" align="alignright" width="293"] Norain Mohamad Noor[/caption]
Sementara itu, Norain Mohd Noor, 60, bersyukur keputusan pentadbiran negeri melanjutkan tempoh pemilikan tanah yang disifatkan memudahkan generasinya pada masa akan datang.
Beliau yang lebih 30 tahun menetap di kawasan berkenaan turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dapat mempertimbang potongan bayaran premium tanah bagi meringankan beban penduduk.
"Sekarang kena bayar lebih kurang RM30,000. Agak membebankan kerana rata-rata penduduk di sini warga emas dan tidak bekerja. Harap Kerajaan Negeri dapat mempertimbang bayaran ini," katanya.