ad
AGENDA

Salahuddin Ayub meninggal dunia

23 Jul 2023, 2:21 PM
Salahuddin Ayub meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 9.23 malam ini pada usia 61 tahun.

Perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Fatiha Salahuddin menerusi kenyataan di laman Facebook.

“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Salahuddin iaitu Syakirin Husnal dalam kenyataan berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Beliau berkata jenazah Allahyarham sedang diuruskan untuk dihantar pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai dan pihak Pejabat Menteri akan memberikan maklumat lanjut mengenai proses pengurusan jenazah dalam masa terdekat.

Sehubungan itu, beliau berkata keluarga Allahyarham ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak atas doa dan ingatan yang diberikan kepada Salahuddin selama ini.

“Keluarga Allahyarham juga ingin berterima kasih kepada semua doktor dan petugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah,” katanya.

Semalam, Syakirin memaklumkan bahawa Salahuddin dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada 10.15 malam Jumaat dan mendapat rawatan setelah mengalami mual serta muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.