ad
AGENSI

Perluas sistem parkir digital ke kawasan luar jalan PBT, pusat beli-belah

22 Jul 2023, 12:00 AM
Perluas sistem parkir digital ke kawasan luar jalan PBT, pusat beli-belah
Perluas sistem parkir digital ke kawasan luar jalan PBT, pusat beli-belah

SHAH ALAM, 22 JULAI: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) berhasrat memperluas penggunaan aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) ke kawasan luar jalan (off-street) pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengarah Urusannya Ahmad Akmal Hamzah berkata cadangan mengembangkan sistem bayaran parkir digital turut meliputi kawasan pusat beli-belah dan komersial di negeri ini.

Beliau memaklumkan pihaknya juga mahu menyediakan kemudahan pengecas kenderaan elektrik selain servis berkait automotif seperti bantuan kecemasan jalan raya dan penukaran bateri.

“Kita juga akan melantik lebih banyak ejen pembayaran bagi membantu rakyat yang tiada telefon pintar sekali gus memudahkan mereka bayar parkir dan kompaun,” katanya ketika dihubungi.

[caption id="attachment_362217" align="aligncenter" width="716"] Gimik pelancaran aplikasi Smart Selangor Parking oleh EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han (tiga dari kiri) di Majlis Perbandaran Klang pada 31 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Ahmad Akmal memaklumkan setakat ini penggunaan SSP hanya di kawasan parkir terbuka bawah seliaan 10 PBT dengan 2.94 juta individu menggunakannya sejak diperkenal pada Julai 2018.

Menurutnya, sistem itu juga sedia diperluas ke Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) selepas PBT berkenaan menguatkuasa pembayaran parkir.

“Buat masa ini SSP dijalankan di 10 PBT kecuali MPHS dan MDSB. Dua PBT ini belum kuatkuasa pembayaran parkir di kawasan masing-masing tetapi kita sudah bina jaringan dengan mereka,” katanya.

SSP merupakan pembayaran menggunakan e-kupon yang lebih mudah, cepat dan selamat dengan pengguna hanya perlu mengisi nombor pendaftaran kereta manakala bayaran dibuat berdasarkan tempoh meletak kenderaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.